Thursday, 8 December 2011

Teknologi Elak Bencana Ketika Banjir… Mana Pergi Semua Kajian Universiti?

Persoalan yang perlu ditimbulkan, adakah sistem paling mudah iaitu SMS dan penggunaan telefon bimbit yang mencecah sehingga 102 peratus penembusannya untuk penduduk di negara ini gagal dimanfaatkan sepenuhnya?
Kita berupaya mengesan banjir awal melalui agensi seperti JPS atau Agensi Remote Sensing Negara yang mampu dimanfaatkan namun sistem komunikasi ke pejabat daerah seterusnya kaedah memberi amaran kepada penduduk setempat harus ditingkatkan.
Beberapa kajian dan teknologi dibangunkan universiti tempatan juga belum nampak dimanfaatkan secara bersepadu di seluruh Negara.
Misalnya, inisiatif dibangunkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang membangunkan satu sistem amaran banjir kira-kira dua tahun lalu.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Zaini Ujang, berkata pihaknya bekerjasama dengan Universiti Oxford bagi membina sistem berkenaan selain berkongsi maklumat mengenainya.
Ia membabitkan satu sistem amaran menggunakan sistem ‘remote sensing’ dan GIS (Sistem Maklumat Geografi) bagi mengesan taburan hujan di sesuatu tempat. Dengan adanya sistem ini, pengguna jalan raya dimaklumkan jalan mana yang boleh dan tidak boleh digunakan.
“Kami mengadakan kerjasama dengan Universiti Oxford kerana kumpulan penyelidik mereka berpengalaman mengendalikan masalah salji termasuk menentukan berapa lori diperlukan mengangkat salji dan pengalaman itu kami gunakan dalam menyusun atur perjalanan kenderaan pada musim hujan,” kata Zaini.
Pada 2008, universiti sama di bawah Ketua Penyelidik Prof Dr Abu Bakar Mohammad mencipta
perkakasan amaran banjir kilat dengan memaklum mengenai status bencana alam itu menerusi penghantaran SMS menggunakan teknologi zarah cahaya (foton).
Teknologi itu mempunyai kelebihan kerana isyarat amaran banjir dapat dihantar lebih jauh dan pantas sekali gus membolehkan orang ramai bersedia lebih awal untuk meminimumkan kerugian jika kawasan mereka dilanda banjir.
Abu Bakar berkata, peranti berkenaan yang dikenali sebagai Sistem Amaran Banjir Automatik Fotoniks dibangunkan di Pusat Teknologi Fotoniks (PTC) UTM itu, siap sepenuhnya pada 21 Februari 2008, selepas kira-kira enam bulan penyelidikan dilakukan.
Beliau berkata, kos untuk membangunkan satu set sistem berkenaan adalah kira-kira RM2,000 dan pihaknya bercadang menjualnya dengan harga RM10,000 dengan penggunanya dapat menghantar SMS kepada 250 pelanggan tanpa mengira jenis pengendali perkhidmatan telekomunikasi.
“Sistem itu mampu menghantar isyarat lebih jauh, tidak mempunyai kejutan elektrik dan menggunakan tenaga elektrik yang sedikit selain dapat mengesan kenaikan paras air terutama sekali banjir kilat dengan pantas,” katanya.
Beliau berkata, secara ringkasnya, sistem ini beroperasi dengan pengesannya ditetapkan mengesan tiga paras air iaitu ‘banjir sudah berlaku’, ‘paras berjaga-jaga’ serta ‘paras bahaya’ dan pengguna akan menerima SMS yang memaklumkan mengenai paras air berkenaan selain turut memaklumkan jika paras air menurun selepas banjir berlaku.
Tahun sama menyaksikan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta sistem amaran banjir terkini yang menggunakan teknologi satelit dari Jepun iaitu Geostationery Meteorology Satelite (GMS) dan berupaya menghantar data digital AVHHR ke stesen penerimaan satelit di Institut Teknologi maju (ITMA).
Data yang diperoleh itu diterjemahkan dalam bentuk imej radiasi dan selepas melalui proses tapisan serta ujian klasifikasi, data berkenaan mampu mengenal pasti suhu dan formasi awan mengikut jenis, ketinggian dan pecahan.
Maklumat berdasarkan data itu mampu menganggarkan jumlah taburan hujan yang akan turun di kawasan terbabit dan persediaan bagi menghadapi kemungkinan banjir dapat disebarluas kepada pihak yang terbabit.
Malah daripada jumlah taburan hujan itu juga, sistem berkenaan berupaya mengenal pasti keluasan kawasan tertentu yang dijangka akan mengalami banjir.
Sistem amaran banjir yang berjaya meraih pingat emas pada Ekspo Teknologi Malaysia 2006 diketuai Ketua Laboratori Permodelan Spatial dan Berangka, ITMA, Prof Dr Shattri Mansor dan dibantu pensyarah Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof Madya Dr Ahmad Rodzi Mahmod, Dr Abdul Halim Ghazali serta Lawal Billa.
Shattri berkata, sistem amaran banjir ini telah diuji di Sungai Langat, Selangor dan ternyata mampu memberi amaran banjir secara lebih tepat dan cepat.
Sambil menjelaskan sistem amaran banjir ini sudah lama dilaksanakan di negara ini, beliau berkata, sistem sedia ada kurang tepat kerana sukar dalam memproses data.
Teknik paling mudah untuk dipraktikkan kini adalah pemindahan data banjir yang boleh didapati melalui http://infobanjir.water.gov.my/ve/vmapjhr.cfm sebelum ia diterjemah secara automatik ke SMS dan memberi amaran kepada penduduk.
Semua maklumat yang disiarkan melalui SMS ini berdasarkan maklumat terkini dan boleh dikemaskini setiap 30 minit berdasarkan keadaan semasa.
Bagaimanapun, bagi amaran atau maklumat banjir, maklumat berkaitan hanya akan disiarkan berdasarkan arahan agensi kerajaan berkaitan.
Sekali gus, perkhidmatan ini berupaya mendidik dan menyampaikan maklumat tepat mengenai banjir kepada orang ramai, selain sebagai satu kaedah penyaluran maklumat yang tepat dan pantas untuk mengelakkan penyebaran berita angina.
Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat banjir yang berlaku bolehlah menghantar SMS ke satu nombor dengan menaip terlebih dulu nama negeri seperti Johor, Negeri Sembilan dan sebagainya
Selain itu, amaran awal bencana banjir juga boleh diterima melalui perkhidmatan SMS ini tapi pengguna perlu mendaftarkan terlebih dulu nombor telefon bimbit mereka ke dalam sistem ini.
Pengguna telefon bimbit yang tidak mendaftar nombor mereka ke dalam sistem ini tidak akan menerima sebarang amaran banjir yang dikeluarkan agensi tertentu yang diharap akan menjadi satu daripada kaedah yang berkesan bagi menyampaikan maklumat dengan lebih pantas, tepat dan boleh dipercayai.
Setakat ini, selepas bermacam kajian sudah dilakukan, bagaimana kita mahu memanfaatkan teknologi sebagai penyelesaian kawalan bencana yang efektif?

No comments:

Post a Comment

EMERGENCY RADIO ORGANISATION

LOGO RADIC

LOGO RADIC