Thursday, 8 December 2011

Pengurusan Risiko Tangani Kemelut Perubahan Iklim

Perubahan iklim dalam trend yang meningkat sejak abad yang lalu dijangka akan memburukkan lagi kesan bencana alam yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Bencana alam menjejaskan 61 peratus daripada populasi dunia di rantau Asia Pasifik yang memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan mengancam struktur sosial.

“Fenomena ini bukan sahaja merencatkan pembangunan malah, kegagalan menguruskan kesan perubahan cuaca dan bencana alam akan membantutkan pencapaian dalam National Key Result Areas (NKRA) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang berhasrat meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah dan kemudahan asas di luar bandar,”

Demikian kata Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Nasional, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Che Moin Umar dalam MARIM FAPARMO International Risk Management Conference (IRMC) 2010 anjuran College of Business (UUM COB) di Langkawi.


“Setiap kali berlaku bencana akan mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda. Di Malaysia, dianggarkan kerugian berjumlah RM1.1 bilion membabitkan aset kerajaan dan kemudahan asas seperti sekolah, hospital, dewan dan sistem pembentungan yang menerima kesan akibat bencana.


“Misalnya ketika banjir besar melanda pada 2006, sebanyak  RM 5.1 bilion telah diagihkan untuk struktur kawalan banjir di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) manakala RM60 juta bagi meringankan beban mangsa,” ujarnya.  


Selain itu, sebanyak RM500 juta diperuntukkan melalui Bank Negara yang mengeluarkan bayaran kepada bank komersial untuk memulihkan perniagaan dan membina semula infrastruktur yang rosak di kawasan yang teruk terjejas.


Manakala, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyediakan perkhidmatan kepada lebih 180 ribu keluarga di Malaysia merangkumi kewangan mikro, simpanan yang diperlukan dan tabung kebajikan kepada orang miskin.


Justeru ujarnya, pengurusan risiko atau bencana penting dalam masyarakat untuk memenuhi  keperluan setempat dan berdepan dengan risiko namun ia bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata tetapi partnership dengan stakeholder  amat signifikan dalam menghadapi cabaran globalisasi.


“Hubungan baik antara kerajaan dan swasta memainkan peranan penting dalam menyuntik kesedaran untuk meningkatkan pelaburan sosial dan aktiviti kemanusiaan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lestari dengan mempromosikan pembinaan kapasiti dan penyelidikan saintifik.

“Malah, kerjasama ini dapat  mengurangkan risiko bencana dengan melaksanakan tanggungjawab sosial  korporat dan pelan kesinambungan perniagaan, mempromosikan dasar fiskal di samping peranan industri menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membangunkan produk kewangan yang inovatif dan komersial. 


Jelasnya, pengurusan risiko bencana perlu ditingkatkan termasuk kredit mikro dan skim kewangan mikro selain mencipta suasana pembangunan pasaran insurans risiko bencana yang menyediakan insentif kewangan selari dengan keperluan masyarakat.


Justeru, syarikat insurans wajar meluaskan skop insurans, perlindungan perumahan bersama garis panduan untuk mencegah kejadian alam yang berpunca daripada manusia seperti kebakaran, kilat, gempa bumi dan taufan. 


Selari dengan inisiatif antarabangsa, pelan mantap telah dirancang sebagai tindak balas kepada risiko akibat perubahan iklim dan bencana alam seperti yang terkandung dalam Hyogo Framework of Action  2005 dan Kuala Lumpur Declaration on Disaster Risk Reduction of December 2008.


Sumber :PROUUM ONLINE

No comments:

Post a Comment

EMERGENCY RADIO ORGANISATION

LOGO RADIC

LOGO RADIC