"UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA"
(THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)
Dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Majlis Keselamatan
Negara (MKN) Perlis, Persatuan Radio Amatur Melayu Malaysia (ASTRA) dan
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, satu program komuniti anjuran
ITU-UUM Asia-Pacific Centre of Excellence for Rural ICT Development (ITU-UUM) yang bertajuk ‘Pendidikan Menghadapi Bencana Alam: Bagaimana Menghadapinya?’ telah berjaya dilaksanakan.
Sesi taklimat dan tayangan video berkaitan banjir dan tsunami telah
dimuatkan dalam aktiviti program berjaya menarik minat peserta. Program
ini yang telah disertai 80 orang pelajar dan 40 guru-guru dari dua buah
sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah, Arau dan Sekolah
Kebangsaan Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis pada 4 Julai 2012 lalu.
Penceramah yang berpengalaman dalam menghadapi situasi bencana adalah
terdiri daripada wakil MKN dan ASTRA secara tidak langsung turut
memberikan impak kepada program ini.
Aktiviti minda seperti soal jawab kuiz, kerja berkumpulan dan latihan
kecemasan juga turut diselitkan dalam aktiviti program bagi memberi
pendedahan kepada pelajar-pelajar tentang langkah-langkah yang perlu
diambil pada sebelum, semasa dan selepas menghadapi sesuatu bencana.
Guru besar dan kakitangan dari kedua-dua buah sekolah amat berterima
kasih dan memberi maklum balas yang positif terhadap program yang
dianjurkan dan berharap program sebegini dapat dianjurkan di masa akan
datang. Guru besar juga berucap dalam majlis penutup bahawa pelajar yang
terlibat sangat beruntung kerana diberi pendedahan menghadapi bencana
seawal umur 9 tahun.
Secara umumnya, program ini telah mencapai matlamat dan objektif
penganjurannya iaitu memberi pendedahan dan kesedaran kepada pelajar
sekolah rendah yang tinggal di kawasan berisiko tinggi menghadapi
bencana alam seperti banjir dan tsunami dan rata-rata para pelajar juga
sangat berpuas hati dengan pengendalian bengkel tersebut. Pihak ITU-UUM
berharap para peserta dapat memanfaatkan segala input yang diberikan
ketika bengkel ini. Di samping itu, pihak ITU-UUM ingin mengambil
kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang
terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penganjuran program
ini.
No comments:
Post a Comment