Komunikasi Radio Amatur digunakan dalam simulasi Keadaan
Kecemasan (ES) ketika bencana Taufan Indera dalam ASEAN Regional Forum Disaster
Relief Exercises 2015
(ARF DiREx 2015).
KANGAR, 24 Mei
(Bernama) -- Kerjasama serantau dalam usaha bantuan bencana akan
dipertingkatkan apabila lebih 1,700 anggota dari 22 negara menghadiri Forum
Serantau ASEAN-Eksesais Bantuan Bencana (ARF-DiREx) 2015. Eksesais akan
diadakan di beberapa lokasi di Kedah dan Perlis dan akan dirasmikan Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana
Negara di Alor Setar, malam esok. Turut dijangka menghadiri upacara perasmian
ialah anggota Dewan Negara China, Wang Yong yang bertanggungjawab bagi
pengurusan bencana republik itu. Setiausaha Keselamatan Negeri Kedah dan Perlis
Safrul Faiz Abdul Satar berkata Malaysia telah membuat persediaan sejak
beberapa bulan lepas untuk memastikan kejayaan eksesais yang disertai
sebilangan besar anggota penyelamat. "Setakat ini, lebih 1,700 anggota
mencari dan menyelamat dari 22 negara termasuk dari China, India dan negara
ASEAN telah mengesahkan penyertaan," kata beliau kepada pemberita semasa
lawatan ke tapak eksesais di Empangan Timah Tasoh di sini, hari Ahad. Malaysia
dan China akan mempengerusikan bersama ARF-DiREx tahun ini. Lokasi eksesais
ialah di Empangan Timah Tasoh, Chuping di Perlis, dan di perairan Pulau Pinang,
manakala ibu pejabat eksesais terletak di Alor Setar. Safrul Faiz berkata
ARF-DiREx 2015 akan bermula dengan 'Table Top Exercise' di Alor Setar esok,
diikuti latihan medan pada hari berikut, membabitkan kakitangan mencari dan
menyelamat di Empangan Timah Tasoh. Katanya latihan medan pada 26 Mei
membabitkan senario semasa insiden tanah runtuh serta usaha untuk menyelamatkan
mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan struktur. Empangan Timah
Tasoh juga menjadi lokasi bagi latihan pemindahan mangsa banjir secara
besar-besaran dan operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir. Chuping pula
menjadi lokasi bagi latihan kebocoran kimia serta insiden jalan raya
membabitkan latihan menangani tumpahan bahan berbahaya, katanya. Sementara itu,
perairan Pulau Pinang akan menyaksikan eksesais maritim mencari dan menyelamat
membabitkan kapal-kapal multinasional sebelum ARF-DiREx 2015 melabuhkan tirai
pada Khamis, kata Safrul Faiz. Fokus ARF-DiREx 2015 adalah untuk menguji usaha
penyelarasan sivil-tentera, mewujudkan sinergi dan menggabungkan usaha ke arah
menyokong pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Respons
Kecemasan sebagai platform bersama bagi pengurusan bencana di rantau ini.
--Sumber BERNAMA